Kuala Lumpur – Aktor kacak Fahrin Ahmad, 35, mengakui ada
hamba Allah berpangkat Mak Cik dari Terengganu ingin menjodohkan beliau dengan
anaknya sendiri. Malah saat menceritakannya kembali peristiwa itu, Fahrin
sendiri tersenyum manja.
Ia terjadi tahun ini sekitar beberapa bulan lalu. Wanita
kampung yang agak berusia itu sanggup meredah perjalanan jauh sehingga ke
beberapa negeri untuk berjumpa Fahrin dan meluahkan hasrat untuk
bermenantukannya.
“Saya kurang pasti sama ada dia berkenderaan sendiri atau menaiki
kenderaan awam semata-mata untuk berjumpa saya. Dia pernah ke Perlis ketika
saya terbabit menjadi hos sukan SUKMA.
“Masa itu, lima jam juga dia tunggu saya. Ketika itu dia
ditemani adik kepada wanita yang ingin dijodohkan dengan saya. Ketika saya terbabit
dengan Jom Heboh di Kelantan pun dia ada. Siap beratur panjang. Ingat nak minta
autograf atau bergambar tapi nak tanya saya kahwin ke belum.
“Di Terengganu, masa rakaman program Pencetus Ummah pun dia
ada. Saya anggap apa yang cuba dilakukan sebagai doa. Saya hanya mampu
tersenyum kerana sedar jodoh itu rahsia Tuhan. Tapi memang mak cik itu
bersungguh-sungguh nak jadikan saya menantunya,” kata Fahrin yang bakal muncul
dengan drama adaptasi novel terbitan Zeel Production berjudul Maaf Jika Aku Tak
Sempurna (MJATS) bermula 2 September ini menerusi slot Akasia TV3.
Tambah Fahrin , beliau cukup terharu dengan tindakan wanita
berkenaan biarpun sedar apa yang cuba dilakukannya seakan mustahil.
“Dalam ada yang memandang saya negatif dengan pelbagai
tanggapan dek cinta lalu (dengan beberapa artis), ada juga yang berminat
menjadikan saya calon menantu mereka. Wanita berusia itu sedikit sebanyak
memberi kepercayaan untuk saya meneruskan kehidupan.
“Sejujurnya anak kepada wanita itu ada berinteraksi dengan
saya menerusi telefon bimbit. Anaknya sudah ada pilihan sendiri dan tidak mahu
ibunya terus-terusan cuba menjodohkannya dengan saya. Saya faham situasi
anaknya itu,” katanya.
Jelas sekali di usianya kini, Fahrin sudah cukup layak untuk
bergelar suami. Beliau dilihat sebagai lelaki yang sudah mempunyai kestabilan
dalam banyak hal termasuk personaliti dan ekonomi. Cuma jodoh dilihat agak jauh
dengannya.
“Pada usia sekarang, saya paling gembira dengan apa yang
dilalui terutama dua tahun kebelakangan ini. Sejujurnya saya tak rasa tertekan
bab jodoh. Mungkin juga usia saya kian matang yang menjadi faktor saya tidak
runsing soal jodoh.
“Saya sudah ada apa yang diingini, cuma satu saja yang tak
lengkap iaitu perihal rumah tangga. Saya sedar soal jodoh itu tetap terus
berlegar dalam fikiran bukan saja teman wartawan, tetapi peminat sendiri. Apa
yang saya boleh jawab ialah doakan yang baik untuk saya.
“Saya percaya jodoh saya itu ada dan saya sering bersangka
baik soal takdir. Ibu saya sendiri setiap kali habis berborak dengannya
terutama di corong telefon, ibu selalu doakan saya untuk dipercepatkan jodoh.
Pendek kata, kalau minta doa daripada ibu, memang doa bab jodoh yang
dimintanya,” kata Fahrin yang lebih selesa mencari pilihannya sendiri untuk
dijadikan bakal isteri berbanding pilihan ibu.
Dalam drama MJATS, Fahrin bergandingan dengan Sara Ali buat
pertama kali. MJATS terbitan Zeel milik Fadzil Teh diadaptasikan daripada novel
nukilan Acik Lana. Drama ini akan menggantikan drama Rindu Aku 200 % di TV3.
Turut berlakon ialah Ika Nabella, Amy Mastura dan Hefny Sahad.
Fahrin kini sudah terbabit dalam lakonan selama 13 tahun dan
masih menjadi pilihan untuk menjadi hero sekalipun ramai pelapis hero baharu
muncul. Tahun ini juga beliau banyak menjadi pengacara program sukan di RTM
seperti Liga Malaysia, Piala Dunia, Sukan Komanwel dan SUKMA.
Fahrin juga masih menjadi duta untuk Power Root Ali Cafe dan
Shell. Aktor bertubuh sasa itu akan muncul dalam filem Pilot Cafe arahan Osman
Ali tak lama lagi. – Berita Harian

No comments:
Post a Comment