DO NOT MISS

Tuesday, 16 June 2015

Yatt Hamzah tunai umrah bersama keluarga



SEMPENA menyambut ketibaan Ramadan esok, selebriti yang juga aktivis kemanusiaan, Yatt Hamzah mengambil kesempatan menunaikan ibadah umrah bersama keluarga tercinta.
Menurut Yatt, rancangannya untuk menjalani ibadah puasa dan menunaikan umrah sudah lama diimpikan dan dia bersyukur kerana ALLAH SWT memakbulkan hasratnya untuk ke sana.
Yatt berangkat ke Tanah Suci Makkah, pagi semalam bersama suami, Abd Mutalib Abd Shukor dan puteri kesayangan mereka, Suci Hanania Malika, 5, Yatt yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaru jenama pakaiannya Suci By Yatt Hamzah sempena Aidilfitri, kelmarin turut menyifatkan pemergiannya ke Tanah Suci sebagai kesempatan untuk berbulan madu.
“Sebenarnya saya memang sudah lama mengimpikan untuk menyambut Ramadan di sana, berbuka dengan kurma dan air zam-zam di depan Masjidil Haram.
"Tapi rancangan ke sana berlaku spontan. Bila saya ajak suami, dia terus bersetuju.
“Walaupun pada mulanya proses untuk ke sana agak mustahil kerana kalau kita mahu buat umrah pada Ramadan, kosnya dua kali ganda dan proses seperti visa juga sukar diperolehi dengan cepat, tetapi Alhamdulillah segala urusan kami berjalan lancar.
“Insha-ALLAH, sempena Ramadan ini saya mahu cari keredhaan-Nya. Mudah-mudahan umrah ini mengakrabkan lagi ikatan kami.
“Walaupun berpuasa, ini juga kira bulan madu saya dan suami,” katanya.
Dalam pada itu, Yatt yang melancarkan koleksi raya terdiri daripada jubah lelaki dan wanita yang diberi nama Nusaibah, Khalid Al Walid, Umar Al Khattab dan Arwa, turut bersyukur di atas sambutan terhadap Suci by Yatt Hamzah kini.
Yatt yang memulakan perniagaan pakaian ini sejak dua tahun sudah memiliki tiga butik di Wangsa Melawati, Shah Alam dan Medan Mara.
“Syukur, saya masih baru dan banyak lagi saya perlu belajar. Tak sangka sambutan terhadap jenama saya sangat menggalakkan.
“Tak dinafikan, persaingan hebat tambahan kini makin banyak rekaan di pasaran. Saya juga berdepan situasi jenama saya ditiru.
“Saya pernah cuba mengekangnya, tetapi gagal sebab luar kawalan saya. Jadi, saya hanya berserah dan percaya  rezeki ALLAH,” ujarnya.
 
 
 

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Mahligai Pelangi. Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia