DO NOT MISS

Thursday 20 August 2015

Rabbani terus ‘hidup’



SATU waktu dulu, pergerakan kumpulan nasyid Rabbani yang sedikit pincang pernah dikaitkan dengan pemergian vokalis utamanya, Ustaz Asri atau nama sebenarnya Mohd Asri Ibrahim ke Rahmatullah pada 2009.

Menolak ‘mentah-mentah’ dakwaan itu, perjuangan Rabbani sebaliknya akan terus ‘hidup’ dalam semangat Allahyarham Ustaz Asri. Buktinya, kumpulan nasyid itu masih wujud dan terus bertahan dalam industri muzik tanah air sehingga ke hari ini.

Meskipun sudah enam tahun berjuang tanpa kehadiran pemimpin utama kumpulan itu, Rabbani yang dianggotai Azadan Abd Aziz, Asri Baidul @ Ubaidullah, Rahmat Syafie, Nazrul Azhar Tamrin, Lokman Abdul Aziz, Rithauddeen Yaakob, Zulkiflee Azman dan Muhammad Afandi Shabudin, ternyata masih merindui saat-saat indah bersama arwah.

Sehubungan itu, bagi memperingati dan mendoakan Allahyarham, kumpulan yang memiliki lapan ahli ini meneruskan tradisi saban tahun dengan menganjurkan Program Mahabbah Aidilfitri pada 13 Ogos lalu.

Ketua kumpulannya, Azadan memberitahu, selain mengadakan majlis tahlil untuk arwah, program itu juga bertujuan untuk meraikan keluarga, sahabat dan rakan-rakan niaga yang banyak menyokong karier seni Rabbani.

"Harapan kami, program seumpama ini akan terus menjalinkan hubungan silaturahim yang terbentuk.

"Kebetulan pula, hari ini, genap enam tahun Allahyarham Ustaz Asri meninggal dunia.

"Jadi, kami meneruskan tradisi setiap tahun mengadakan majlis tahlil buat Allahyarham," katanya ketika ditemui Zass.

Jelas Azadan, ketiadaan Allahyarham Ustaz Asri menjadikan Rabbani lebih bersedia, berdikari dan bermotivasi serta sentiasa berlatih untuk melakukan yang terbaik.

"Memang semasa awal-awal Allahyarham meninggal dunia, banyak desas desus dan khabar angin serta suara-suara sumbang yang mengatakan kami tak boleh hidup tanpanya dan berkubur.

"Tetapi, sebenarnya, aktiviti Rabbani sudah mulai sibuk sejak tahun pertama ketiadaan Allahyarham lagi.

"Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, kami tak cukup kaki dan tangan dalam  melaksanakan pelbagai tugas tetapi semuanya masih tersusun," katanya.

Bagaimanapun, Rabbani mengakui masih terkesan dengan pemergian mengejut pemimpin utama kumpulan itu.

"Komitmen sebagai penasyid itu sendiri, menyebabkan tiada perasaan putus asa dalam diri masing-masing.

"Malah segala pesanan dan tunjuk ajar Allahyarham, kami akan memanfaatkannya sebaik mungkin.

"Cuma, secara peribadinya, kami rasa kesunyian tanpanya. Alhamdulillah, rasa sunyi itu terubat dengan kehadiran peminat, keluarga dan rakan terdekat yang banyak memberi sokongan," katanya.


Lebih kreatif

Menceritakan mengenai perkembangan terbaharu kumpulan itu, Azadan mengakui Rabbani perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan aktiviti persembahan.

"Kini, kami sedang sibuk mengumpulkan material untuk album baharu yang akan berada di pasaran hujung tahun ini.

"Selain itu, kami juga bergerak aktif di belakang tabir apabila terbabit sama dengan kerja-kerja yang melibatkan pengurusan majlis dan sistem studio.

"Pada masa sama, kami juga sibuk menguruskan Rabbani Travel & Tours, sebagai meneruskan hasrat Allahyarham yang tertangguh," katanya.

Tidak hanya menyanyi, Azadan memberitahu Rabbani juga aktif dengan pelbagai program motivasi sebagai menyahut seruan kerajaan dalam mengatasi masalah sosial negara.

"Ia juga merupakan salah satu kerja dakwah dalam memastikan generasi muda kita diisi dengan aktiviti yang menyihatkan.

"Bagi kami, artis juga sebagai ‘role model’ kepada masyarakat jadi kita perlu pelbagai dan tak boleh bergantung pada glamor semata-mata," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rabbani bakal menganjurkan Karnival Laksamana Cheng Ho dengan kerjasama pusat mualaf, Darul Saadah di Seremban pada Oktober kelak.

Selain itu, Rabbani juga baharu saja dilantik sebagai duta produk makanan sunnah, Jus Asy Syafi oleh Mavellous International selama dua tahun.



Kredit

Tuesday 11 August 2015

Naila Nurjannah pengikat kasih Zizie dan Bung



SETELAH beberapa tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Zizie Ezette dan Bung Mokhtar Radin akhirnya membuat keputusan untuk mengambil anak angkat.

Menurut Zizie, keputusan untuk mengambil anak angkat dibuat selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.

"Isu nak ambil anak angkat ini sudah lama, tetapi asyik tertangguh. Sejak tahun lalu, hati saya kuat untuk mengambil anak angkat.

“Tetapi tahun ini, perasaan itu lebih kuat. Lagipun nak ambil anak angkat bukannya mudah kerana banyak prosedur yang perlu dilalui,” katanya dipetik sebuah portal hiburan.

Tambahnya lagi, kehadiran anak angkat yang diberi nama Naila Nurjannah turut mengeratkan lagi hubungan antara dia dan suami.



Kredit

Wednesday 29 July 2015

Ayda Jebat serius menyanyi





SELEPAS empat tahun tidak menyanyi, Ayda Jebat beranggapan sudah tiba masanya untuk kembali aktif dalam bidang terbabit.

Bahkan, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) ini turut mahu lebih serius dalam bidang nyanyian selepas tampil dengan single pertamanya, Siapa Diriku sejak 1 Julai lalu.

“Sebenarnya, saya suka menyanyi. Tapi, rezeki saya lebih menyerlah sebagai pelakon.

“Saya menyanyi bukan kerana mahu membuktikan diri ini berbakat sebagai penyanyi, tetapi ingin memberitahu orang ramai bahawa saya cintakan dunia muzik.

“Kini, saya sangat teruja kerana single pertama sudah pun menemui peminat.

“Lebih istimewa, single itu juga dijadikan sebagai lagu runut bunyi untuk drama lakonan saya, MAID,” katanya.

Meskipun teruja, jauh di sudut hati pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat ini terselit rasa bimbang.

“Saya tahu, agak sukar bagi seorang pelakon untuk bergelar penyanyi dan mudah bagi seorang penyanyi untuk cuba berlakon.

“Namun, dalam kes saya, ia agak berlainan. Dari bidang nyanyian, saya terjun ke dunia lakonan dan cuba membina nama semula sebagai penyanyi.

“Saya tidak dapat menduga apa-apa kerana ini percubaan pertama saya. Apa yang saya harapkan adalah penerimaan dan sokongan yang berterusan daripada peminat,” katanya.

Bagaimanapun, teraju utama drama Rindu Awak 200% ini berjanji untuk menyeimbangkan karier lakonan dan nyanyiannya sebaik mungkin.

“Saya akui saya mengambil cuti panjang bagi mempromosikan lagu ini kerana saya mahu memberikan yang terbaik.

“Insya-ALLAH, hujung bulan ini, saya kembali sibuk di lokasi penggambaran telefilem Nawaitu Cinta arahan Osman Ali,” katanya.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai lagu berentak rancak yang ditulis bersama Omar K, katanya, Siapa Diriku berkisar kerenah manusia yang gemar menghakimi individu lain.

“Saya suka lagu ini. Lagu ini ada pengajaran dan bukan sekadar lagu saja. Ia mengisahkan tentang keadaan sekarang,” katanya.
 
 
 
 

Sunday 19 July 2015

Qi Razali-Nelydia tunang lepas raya?



PASTI ramai peminat seni tempatan sudah sedia maklum mengenai percintaan dua pelakon popular ini.

Baik yang lelaki mahu pun perempuan, keduanya mengakui ikatan cinta mereka semakin hangat walaupun tidak terlalu terbuka bercerita mengenainya kepada khalayak.

Namun, sejak akhir-akhir ini sering kali terdengar khabar angin menyatakan mereka bakal bertunang tidak lama lagi.

Meskipun sebelum ini pelakon dan pengacara Qi Razali sudah mengatakan kesediaannya untuk menjadikan kekasih hatinya, Nelydia Senrose sebagai isteri, namun perkembangannya masih samar-samar.

Malah Nelydia sendiri pernah memberitahu segala perbincangan hanya dilakukan selepas ibunya pula dari menunaikan umrah.

Tidak mengelakkan diri daripada tanda tanya tersebut, Qi berkata, mereka sebenarnya sudah pun membuat persiapan namun bukanlah secara keseluruhan.

"Adalah buat sikit-sikit tu. Segalanya masih dalam proses. Insya-ALLAH, jika berkesempatan kami juga akan tengok-tengok cincin nanti," katanya perbincangan bersama kedua keluarga telah dibuat tetapi tarikh masih belum ditetapkan.

Tambah pelakon Suamiku Jatuh Dari Langit ini juga, dia tidak mahu terlalu terbuka mengenai cerita tersebut kerana masih dalam perancangan.

"Apa pun kita raya dahulu, selepas itu tengoklah macam mana. Saya tiada niat nak sorok atau buat senyap-senyap, apabila sudah tiba masanya saya akan kongsi dengan semua," jelas pelakon berusia 37 tahun ini.



Kredit

Thursday 25 June 2015

Alyah lebih tenang



SELEPAS lebih kurang sembilan tahun aktif, Ramadan tahun ini penyanyi Datin Alyah memilih untuk memperlahankan karier seninya.

Lebih istimewa, tahun ini juga menjadi pengalaman pertama buat isteri kepada komposer hebat, Datuk Ramli MS meluangkan masa di samping keluarga dalam menjalani ibadah puasa.

“Setelah hampir sembilan tahun setiap kali bulan puasa jadual saya tetap sibuk dengan aktiviti seni tetapi pada tahun ini, saya tenang sikit dan memperlahankan aktiviti seni.

“Alhamdulillah, tahun ini saya banyak lebihkan masa bersama suami, ibu dan ibu saudara saya. Sebelum mereka menunaikan umrah kelmarin, saya memang luangkan masa ambil keberkatan Ramadan bersama mereka.

“Tahun ini juga berbeza, kerana saya dan suami lebih memilih untuk berbuka di masjid dan bagi saya ini peluang untuk saya manfaatkan masa yang ada dengan baik,” katanya ketika di temui pada majlis berbuka puasa bersama Sony Music Malaysia, di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.

Tambah Alyah, berbuka puasa di masjid banyak memberinya pengalaman yang berharga.

“Satu pengalaman yang menyeronokkan apabila kita dilayan sama seperti orang lain tanpa mengira apa pun status kita.

“Apabila waktu ambil juadah dan duduk untuk berbuka semuanya dilayan sama rata dan ini dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

“Tahun ini memang saya tidak ke bazar Ramadan sebab memang kami akan berbuka di masjid,” ujarnya.

Ditanya pula mengenai waktu sahur, Alyah mendedahkan suaminya mengambil alih tugasnya untuk memasak.

“Disebabkan saya ada gastrik, saya memang kena makan sahur, tapi yang masak adalah suami saya.

“Walaupun saya tidaklah ambil makanan yang berat, tapi suami saya rajin sediakan juadah yang lebih berat seperti ikan bakar dan asam pedas.

“Kalau bab makanan, dia memang seorang yang cerewet sebab itu dia lebih memilih untuk masak sendiri. Tugas saya hanyalah mencuci pinggan,” katanya sambil tertawa.



Kredit

Tuesday 23 June 2015

Tyrese Gibson nafi peluk agama Islam



PELAKON, Tyrese Gibson hari ini menafikan beliau telah memeluk Islam selepas tersebarnya khabar angin tersebut sejak awal Ramadan tahun ini.

"Dengan hormat saya menjelaskan (bahawa) saya bukan seorang Muslim, saya seorang Kristian sejak dilahirkan.

"Saya menghormati semua agama dan ada ramai kawan Muslim yang sangat baik. Saya sudah mendalami budaya dan saya hormati budaya," kata Gibson hari ini dalam sebuah perkongsian di laman sosial Facebook.

Beberapa hari lepas, foto ucapan selamat berpuasa dan sebuah lagi foto yang menunjukkan beliau memakai serban dan jubah telah memberi bayangan kepada orang ramai bahawa beliau juga menyambut Ramadan.



Kredit

Saturday 20 June 2015

Rossa utamakan anak



BIARPUN sibuk dengan undangan nyanyian dan majlis berbuka puasa, penyanyi terkenal, Rossa tetap berusaha sebaik mungkin bagi meluangkan masa berbuka puasa bersama anaknya, Rizki Langit Ramadan.

Apatah lagi setelah beberapa tahun bercerai dengan suaminya, Yoyok, Rossa lebih senang menguruskan anaknya sendiri.

"Kerja tidak banyak yang berkurangan meskipun pada bulan puasa. Malah saya kira makin bertambah kerja.

"Tapi saya akan memastikan akan pulang ke rumah dan berbuka puasa bersama keluarga, terutamanya bersama anak.

“Berbuka puasa bersama-sama anak sudah menjadi hal wajib saban kali puasa tiba. Ditambah lagi, momen buka puasa merupakan saat-saat yang menyenangkan setiap Ramadan,” kata Rossa.



Kredit
 
Copyright © 2014 Mahligai Pelangi. Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia