DO NOT MISS

Friday 29 August 2014

Cabaran Jadi Mamak

Dua tahun lalu, satu demi satu filem lakonan Shaheizy Sam, 32, ditayangkan di pawa­gam apabila menjadi artis di bawah pengurusan MIG Talent, sekali gus berlakon dalam filem terbitan Metrowealth Pictures (MIG).

Tahun lalu, Sam menukar strategi apabila berehat dari lakonan dan hampir setahun dia sepi tanpa filem baru. Terbaru, filem lakonannya, Adnan Sempit Sawadikap ditayangkan di pawagam 14 Ogos lalu dan bakal me­nyusul Mamak Cupcake pada 28 Ogos ini.

Sam akui berehat daripada lakonan hampir setahun selepas menjalani
satu demi satu filem. Kini masa untuknya kembali sibuk promosi filem lakonannya.



Katanya, dalam tempoh hampir setahun itu, dia mengambil peluang berehat panjang selain mengintai peluang bekerja dengan produksi berbeza selain MIG.

Selain Mamak Cupcake terbitan Grand Brilliance, Sam menanti tayangan filem Manisnya Cinta dan Gol terbitan Red Films.

“Dua filem ini menampilkan genre berbeza dan ia memberi pengalaman baru dan kepuasan berbeza. Bekerja dengan produksi terbabit juga langsung tidak memberi tekanan,” katanya.

Dalam Mamak Cupcake, Sam berganding dengan Siti Saleha dan turut dijayakan Azad Jasmin dan Faizal Ismail (FBI).

Katanya, satu sebab dia menerima tawaran membintangi filem ini kerana mahu mencuba berlakon di bawah arahan Woo Ming Jin dan melakonkan watak di luar kebiasaan.

“Kalau ada yang menawarkan saya watak menjadi perempuan, memang saya mahu. Begitulah ibaratnya dengan watak dibawakan sebagai Mohd Jamaluddin (MJ).

“Saya seorang Melayu jati melakonkan watak mamak. Ceritanya juga sangat mudah dan terbuka. Bayang­kan cabaran untuk saya menjayakan watak ini.

“Sebagai orang Melayu yang kadangkala disangka Cina pegang watak Mamak. Dari sudut penampilan sudah jauh beza. Jadi sepanjang berlakon, saya harus menjegilkan mata supaya tidak kelihatan seperti anak Cina,” katanya.

Anak manja kesayangan pelakon Khaty Fuziah ini berkata, dia juga seronok dapat kembali bekerja dengan teman baiknya, Azad selepas sekian lama tidak digandingkan dalam mana-mana filem. Sebelum ini mereka pernah digandingkan dalam Ngangkung.

Mengenai persamaan yang wujud antara watak dilakonkan dengan dirinya sendiri, kata Sam, secara fizikalnya tidak ada tetapi latar keluarga memang sama iaitu anak bongsu, mempunyai abang dan selalu mendahulukan ibunya.

“Menariknya filem ini apabila Mamak yang sering dikaitkan dengan roti canai dan teh tarik, tiba-tiba dikaitkan dengan kek cawan.

“Dalam situasi MJ, melakukan sesuatu di luar kebiasaan perniagaan keluarganya dianggap sebagai satu sifat penentangan.

“Bapanya tidak suka usaha dilakukan tetapi MJ menunjukkan jika ada usaha, pasti apa yang diimpikan mampu menjadi ke­nyataan. Akhirnya kejayaan diper­oleh diterima baik ahli keluarga,”katanya.

Kata Sam, filem ini juga gandingan pertamanya dengan Siti Saleha. Sam akui senang berganding dengan pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu.

“Tiada masalah berlakon dengan Siti Saleha kerana dia mudah memberi kerjasama dan sentiasa membuatkan pelakon lain berasa selesa.

“Luarannya, Siti Saleha secara peribadi bukan pelakon kecoh atau bising untuk menarik perhatian. Malah, dia lebih sedang duduk diam di satu sudut.

“Namun, ini tidak bermakna dia sombong, sebaliknya sebagai pelakon dia tahu apa harus dilakukan. Sebelum memulakan penggambaran, dia senang menerima idea diberi bagi mencantikkan lagi babak dilakukan,” katanya.

Dalam Manisnya Cinta pula, Sam berganding dengan Fazura. Ini juga gandingan pertama Sam de­ngan pelakon jelita itu dan turut menjalani penggambaran di Istanbul, Turki.

Mengenai kontrak­nya dengan MIG yang bakal berakhir Disember depan, Sam akui tiada masalah terus bekerjasama dengan MIG.

Katanya, waktu sama dia juga ada perancangan untuk melangkah setapak lagi dalam industri tetapi belum dapat diputuskan lagi.

“Saya tiada masalah bekerja dengan MIG. Kalau masih ada rezeki bersama, saya tidak keberatan,” katanya.

Sam kini dalam persiapan ke lokasi filem terbarunya dan cuba mendapatkan tubuh sasa untuk watak polis.

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Mahligai Pelangi. Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia