DO NOT MISS

Monday 8 September 2014

Transformasi Glam: Ayda tak henti gapai impian

Dia lebih meminati bidang nyanyian sejak kecil apabila menjadi ahli Malaysian Arts Institute Malacca Cultural Troupe sebagai penyanyi dan juga penari ketika di sekolah menengah.
Apabila melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), dia memilih bidang seni dengan mengambil Diploma Muzik. Dia mahu mengikut jejak langkah ibunya, Rohana Mohamad jadi penyanyi.

Bagaimanapun, dia terpaksa meninggalkan kuliah apabila terpilih menjadi peserta program pertandingan realiti Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan (AF9). Sebelum menyertai uji bakat AF9, dia pernah menjalani uji bakat Mentor musim kelima.

Ternyata cinta Ayda Jebat atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 22, pada nyanyian tidak menjanjikan tuah buatnya apabila dia lebih dikenali sebagai pelakon.



 Malah ketika di AF9, Ayda hanya bertahan tiga minggu apabila disingkir menerusi Operasi Gugur hingga memaksa gadis iras wajah pelakon Wawa Zainal itu meninggalkan pentas AF. Pada minggu sama, adiknya Fina diserap masuk.

Seminggu selepas itu, Ayda mendapat tawaran berlakon dalam telefilem Cerciter Cinta. Peluang tidak hanya terhenti di situ, Ayda tidak putus-putus menerima tawaran walaupun hanya watak kecil.

Kehadirannya dalam industri mula mencuri tumpuan menerusi lakonannya dalam Anugerah Terindah, namun siri Rindu Awak 200% yang meletakkan dirinya sebagai tunjang utama memegang watak Armel Aisyah melonjakkan namanya.

Pengikut (follower) akaun laman sosial Instagram miliknya meningkat secara mendadak walaupun pada tiga episod awal drama itu, Ayda teruk dikritik. Gara-gara lakonannya juga, dia dipilih menjadi duta produk Aura White Bubbly.

Walaupun dilihat semakin maju dalam bidang lakonan, Ayda tidak berputus asa meneruskan impiannya bergelar penyanyi. Sebelum ini Ayda pernah merakam dua lagu, Cinta Lara dan Beri Aku Waktu. Dia kini menunggu masa sesuai untuk kembali ke studio rakaman.

Walaupun bimbang tidak dapat membahagikan masa untuk dua kerja dalam satu masa, Ayda nekad mencari ruang untuk dua bidang itu.


Kredit
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/07

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Mahligai Pelangi. Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia