DO NOT MISS

Friday 29 August 2014

Mawi ghairah mengarah

Bermula sebagai penyanyi, siapa sangka juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Asmawi Ani atau Mawi kini semakin serius sebagai penerbit dan pengarah. Selepas karya pertamanya, telefilem Pak Nil Ibu Kirim Salam pada 2009 mendapat sambutan, pemilik produksi MW Entertainment ini bersemangat menggali peluang menerbit dan mengarah. Dua tahun kemudian, dia tampil dengan telefilem Siapa Dapat Lisa dan hari raya pertama lalu, garapan ketiganya, Rock Sangkut bersiaran di Astro Prima dan Maya HD diikuti Novel Fana pada raya kedua. Mawi mengakui jatuh cinta dengan dunia pengarahan dan akan terus menghasilkan telefilem serta drama buat tatapan penonton.
Bagi mengukuhkan pengetahuan dalam bidang ini, Mawi banyak menonton filem dalam dan luar negara, khususnya karya dari Iran dan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. “Saya tidak sangka boleh duduk di kerusi pengarah. Bila dah cuba, rasa jatuh cinta pula. Benar kata orang lama, tidak ada yang mustahil dalam dunia ini. Kalau minat, insya-Allah ada jalan, dengan syarat kena belajar dan rajin berusaha. “Kalau diikutkan, saya tidak ada pengalaman dan kelulusan dalam bidang ini. Saya belajar menerusi pemerhatian dan apa yang saya lalui ketika di puncak kejayaan. “Perkara paling penting ketika mengarah, kena ada rasa. Filem P Ramlee misalnya, orang suka dan tak lapuk di zaman kerana ia ada rasa. “Begitu juga filem dari Iran, khususnya arahan Majid Majidi. Karya beliau banyak menyentuh isu kemanusiaan dan kemasyarakatan. Kita kena ada banyak karya sebegitu. Filem dua pengarah tersohor ini menjadi rujukan saya,” katanya. Kata Mawi, bukan tidak percaya dengan kemampuan pengarah sedia ada, tapi dia lebih selesa mengarah sendiri untuk produksi miliknya. Katanya, sebagai pencetus idea sesuatu cerita itu, dia lebih memahami apa mahu disampaikan. Atas titik tolak itu, dia mengambil langkah berani menggalas tanggung-jawab sebagai pengarah. Sudah pasti sebagai ‘pendatang baru’, tanggungjawab itu sangat mencabar. “Alhamdulillah, karya terbitan MW Entertainment setakat ini mendapat sambutan dan maklum balas baik daripada penonton serta Astro. “Ia secara tidak langsung menyuntik keyakinan dan semangat saya untuk terus berkarya. Rock Sangkut yang disiarkan baru-baru ini misalnya, sambutan sangat memberangsangkan biarpun siarannya jam 2 petang. Saya difahamkan rating mencecah 300,000 tontonan. “Ramai minta saya buat sambungan dan untuk tidak menghampakan mereka, akan ada sambungan dalam bentuk drama bersiri 13 episod. “Penggambaran akan dilakukan hujung tahun ini. Sekarang saya menyiapkan skrip dan kami akan kekalkan Joey, Along Cham serta Hazama sebagai pelakon utama,” katanya yang berminat mengasah bakat sebagai pelakon jika wataknya sesuai dan menarik. Mawi juga diberi kepercayaan Astro mengarah telefilem Papa Badut untuk Saluran Astro Prima dan Maya HD. Penggambaran akan dilakukan penghujung bulan depan, diikuti drama berat, Bil Terakhir. Mengenai kerjaya nyanyian, Mawi kini rancak mempromosi single terbaru bersama Hazama dan Daly Filsuf, Al-Nuraa... Yang 5... Yang 6. Lagu ciptaan Sheikh Qalam, Mawi dan Daly itu mula diputarkan di radio dan mendapat perhatian peminat. Katanya, idea menghasilkan lagu itu datang selepas bermimpi helikopter terhempas dalam air. “Pelik tapi benar. Dalam mimpi itu ada saya, Daly dan Hazama. Tiga hari selepas itu, saya ada persembahan di RTM dan jumpa Daly. Kami tak pernah berbual, tetapi dalam pertemuan itu dia bagi saya dengar lagu. Katanya, sudah lama dia buat lagu itu untuk saya. Saya suka dan terus bersetuju. “Malam itu juga Daly e-mel lagu dan saya cadangkan Hazama jadi rakan duet kami. Saya cerita pasal mimpi saya dan dia bersetuju. “Saya yakin dengan gandingan ini kerana setiap kami ada kekuatan tersendiri. Lagu ini dilancarkan Ramadan lalu dan klip video menyusul dalam waktu terdekat,” katanya yang akan terus menyanyi selagi ada permintaan. Bapa kepada Cahaya Malaika ini juga semakin kencang mengembangkan perniagaan yang diusahakan bersama isterinya, Ekin. Di bawah jenama Unequein, orang ramai bukan saja boleh mendapatkan produk kesihatan tetapi juga boleh membeli koleksi tudung dan baju rekaan Ekin. “Alhamdulillah, produk keluaran Unequien semakin mendapat tempat di hati orang ramai. Awal dulu nak perkenalkan produk kami memang susah. Mahu yakinkan orang satu cabaran besar buat kami. “Berkat usaha keras dan sokongan orang ramai, Unequein berkembang dan Ekin semakin rancak menghasilkan tudung dan baju. “Tudung keluaran kami sesuai untuk semua golongan dan sangat mudah dipakai kerana terus sarung saja. Terima kasih kepada semua yang menyokong Unequein,” katanya.

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Mahligai Pelangi. Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia