DO NOT MISS

Thursday 4 September 2014

Fattah Amin perbaiki diri

 



BINTANG utama Playboy Itu Suami Aku, Fattah Amin mengakui tidak takut atau gentar sekiranya tahap lakonannya masih terus mendapat persepsi negatif daripada penonton.
Pelakon berusia 24 tahun itu, sebaliknya menganggap perkara itu sebagai salah satu cabaran buat dirinya demi mempertingkatkan mutu lakonannya.

"Saya sedar, saya bukanlah seorang pelakon berbakat sebab itu saya belajar daripada bawah. Macam bayi, mana ada bayi yang baru lahir, sudah pandai bercakap?

"Saya tidak kisah dengan komen negatif yang dilemparkan kerana saya menjadikannya sebagai penyuntik semangat untuk membuktikan kebolehan saya.

"Jika ada peluang, sememangnya saya mahu ke kelas lakonan, tapi jadual sangat padat membataskan hajat saya itu," katanya.

Hero Remaja 2012 ini, mengakui yang dia kini sibuk dengan pelbagai tawaran lakonan dan menganggapnya itu semua adalah rezeki dari Yang Maha Esa.

"Sebagai pelakon, saya terus berlakon jika ada permintaan daripada audien atau stesen TV.

"Bagi saya, selagi penonton ingin melihat lakonan saya, saya akan terus berlakon dan memberikan yang terbaik," katanya yang berhasrat membuka pusat gimnasium bersama rakannya, tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Fattah bakal muncul dalam telenovela pertama di negara ini, Cinta Ibadah bergandingan dengan Aishah Ilias, Raja Ilya, Sherry Ibrahim, Nor Albaniah, Sharolnizam dan ramai lagi.

"Memegang watak utama dalam telenovela ini membuatkan saya meletakkan harapan yang tinggi kepada penonton untuk membuktikan  bakat lakonan saya.

"Saya harap saya diberi ruang dan peluang. Saya yakin akan ada peningkatan pada lakonan saya," katanya.

Cinta Ibadah diarahkan oleh Ayie Mustafa dan Sridhar Jetty dan bakal ditayangkan di saluran Astro Prima (saluran 105), Maya HD (saluran 135), Ria Plus dan Astro On The Go mulai 8 September ini.
 
 Kredit

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Mahligai Pelangi. Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia