Penerbit drama bersiri, David E. Kelley yang popular dengan siri TV seperti Chicago Hope, The Practice, dan Ally McBeal, telah menerbitkan sebuah drama terbaru berjudul 'The Crazy Ones' dengan memasukkan aspek kehidupan pelakon komedi itu dalam wataknya, Simon Roberts.  
 
Siri ini bersiaran sejak 24 Ogos lalu dan merupakan peluang terbaik  buat para penonton untuk menyaksikan aksi mendiang Robin Williams dalam siri TV terakhirnya di ntv7 pada setiap Ahad, jam 10.00 malam.
 
'The Crazy Ones' menceritakan Simon Roberts yang menerajui sebuah agensi berpengaruh dan memiliki akaun di antara jenama dan pelanggan terbesar di dunia yang seringkali bertelagah dengan anak perempuannya, Sydney. 
 
Sydney (Sarah Michelle Gellar) dalam masa yang sama tetap menjadi protégé Simon dalam syarikat agensi pengiklanan. Berbeza dengan ayahnya, Sydney seorang yang fokus, tersusun dan cuba mendapatkan reputasi baik dibawah namanya dan dalam masa yang sama terpaksa menguruskan ayahnya.
 
Sementara itu apabila jalan cerita semakin dikembangkan, kisah lampau Simon mula didedahkan. Dia diceraikan ibu Sydney dan berkahwin semula serta mengalami masalah rumah tangga. Kerana kemusnahan semua rumah tangganya, Simon cuba menebus kesalahan dengan sentiasa berada di samping Sydney.  
 
Antara watak lain yang diperkenalkan adalah penulis tampan syarikat itu, Zach (lakonan James Wolk), pengarah seni, Andre (Hamish Linklater) yang sangat bersemangat serta watak gadis menawan dan bijak bernama Lauren (Amanda Setton). 
 
Drama bersiri 22 episod ini turut menampilkan Kelly Clarkson dan Josh Groban dan berjaya menarik sebanyak 15 juta penonton ketika ditayangkan di Amerika Syarikat.
 
Saksikan 'The Crazy Ones' setiap Ahad jam 10.00 malam di Saluran Ceria Anda, ntv7.