Selebriti versatil, Sarimah Ibrahim, 36, bakal mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 42, dalam majlis yang akan diadakan pada 27 September ini.  
 
“Dia lain dari kawan-kawan yang saya pernah kenal sebelum ini. Dari segi budi bicara, cara, penampilan dan pemikirannya. Itu semua penting untuk saya. Cuma dia yang berani untuk bersama saya dan seorang yang sangat penyabar dengan kerenah saya,” ujar Sarimah yang dipetik menerusi Astro Gempak.
 
Bakal melangsungkan majlis tersebut di sebuah hotel di ibu kota, Sarimah menjelaskan persiapan sudah banyak dibuat dan majlis tersebut akan mematuhi adat resam dan mengikuti budaya kedua-dua belah keluarga.
 
“Hanya doa yang diharapkan kepada para peminat agar segalanya berjalan lancar antara mereka berdua. Seperti sedia maklum, ini adalah perkahwinan kali kedua buat kami berdua. Jadi kami berharap perkahwinan ini adalah yang kali terakhir," tambah Sarimah. 
 
Untuk rekod, Tunku Nadzimuddin merupakan cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10 dan kini mengusahakan perniagaan dalam bidang pelaburan. 
 
Pasangan ini dipertemukan sejak sembilan bulan lalu di sebuah majlis makan malam seorang kenalan.