DO NOT MISS

Thursday, 9 October 2014

Mahu jadi insan lebih baik

Penyanyi terkenal Indoneisa, Kris Dayanti antara insan bertuah kerana menjadi te­tamu Allah di Makkah ketika menunaikan haji pada 2004 selain beberapa kali menunaikan umrah.
Bersama bekas suaminya Anang Hermansyah, Kris menunaikan haji dan dua kali umrah. Bersama suami sekarang, Raul Lemos, Kris juga beberapa kali mendapat panggilan-Nya untuk menunaikan umrah.

Bagi Kris, hatinya tergerak untuk ke kota suci itu kerana mendapat panggilan daripada Allah. Menginjak usia 40 tahun, penyanyi yang popular dengan lagu Menghitung Hari itu melihat perkembangan peribadi dan kerjayanya pada sudut sangat positif.

Kris yang bakal meraikan ulang tahun ke-40 pada 24 Mac tahun depan mengakui peluang mengerjakan Rukun Islam kelima itu membuka lembaran baru dalam hidupnya.

 Sebagai manusia dan penganut Islam, tentu dia harus memastikan rohaninya tidak memikirkan soal dunia tetapi juga akhirat kerana ia kehidupan hakiki.

“Ibadat itu harus dilakukan bila-bila masa saja, tidak perlu menunggu sehingga hari tua atau masa lapang. Kita harus menggunakan kesempatan yang ada dengan sebaik-baiknya ketika masih ada kekuatan untuk berbuat demikian.

“Alhamdullilah, saya diberi peluang itu dalam usia menginjak 40 tahun. Saya berpeluang mengerjakan haji pada 2004 dan ia pengalaman yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Apa pun, saya bersyukur menjadi antara hamba-Nya yang dijemput,” katanya.

Ibu empat anak iaitu Titania Aurelie, 16, Azriel Hermansyah, 14, Aryana Amora Lemos, 3, dan Kellen Alexander Raul Lemos, 1, melihat usia bakal mencecah 40 tahun sebagai satu transisi perubahan hidupnya.

Katanya, dalam Al-Quran ada menyatakan doa orang yang berada dalam lingku­ngan usia itu.

“Saya mempunyai cita-cita untuk menjadi manusia lebih baik apabila usia meningkat dan untuk mendapatkan itu, saya harus berusaha mengubah diri sendiri dan bukan disebabkan orang keliling saya.

“Paling penting, jangan berhenti belajar. Disebabkan itu jika ada kesempatan, saya akan mengerjakan umrah. Ia menjadi rutin buat saya seperti pergi ke Paris.

“Hanya dengan cara itu saya dapat memantapkan ilmu yang ada dan mengisi rohani supaya menjadi hamba-Nya yang lebih baik.

“Lebih bermakna apabila kebanyakan peluang itu turut disertai suami. Ia menjadikan kebahagiaan saya berganda,” katanya.

Kris yang berada di Kuala Lumpur minggu lalu untuk promosi konsert Kris Live in KL 2014 yang dijadual berlangsung November depan berkata, kewajiban ibadat haji sudah dijalankan dan sekarang dia harus memperbaiki dan memantapkan diri.

Kris akui teruja dengan konsertnya yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dewan yang berprestij.

“Kali pertama saya mengadakan konsert di sini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan selebihnya menjayakan persembahan sempena minggu setiausaha. Saya juga pernah mengadakan konsert 3 DIVA bersama Ruth Sahanaya dan Titi DJ, di Stadium Putra, Bukit Jalil,” katanya.

Konsert ini kerjasama bersama One Drop Perfume sebagai penaja utama. Kata Kris, segala-galanya bermula apabila pihak pengeluar pewangi tempatan itu hadir menyaksikan persembahannya tahun lalu.

“Wakilnya datang bertemu saya sekitar September menyatakan mahu bekerjasama dan menaja konsert yang diadakan. Perancangan dibuat lama dan ia dapat direalisasikan pada November depan,” katanya.

Jelas Kris, dia senang apabila sebahagian besar peminatnya di sini turut menyambut baik apabila berita dia bakal me­ngadakan konsert solo diketahui.

“Bayangkan, hampir 17 tahun saya menyertai industri hiburan di Malaysia, penerimaan diberi sangat baik hinggakan saya berasakan saya sama-sama mewarnai industri muzik di sini.

“Konsert itu nanti akan menampakkan metamorphosis saya sepanjang bergelar penyanyi di sini. Apatah lagi konsert itu nanti akan membariskan 11 pemuzik terbaik dan banyak cerita yang akan dikongsi, iaitu sejak mula saya menjejakkan kaki di sini sebagai pe­nyanyi hinggalah sekarang.

“Saya tahu untuk dua jam konsert berlangsung tidak akan cukup untuk menampilkan semua lagu, tetapi saya akan cuba memberi yang terbaik demi kepuasan peminat,” katanya.


Kredits

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Mahligai Pelangi. Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia