KEMUNCULAN Maher Zain, menerusi lagu-lagu berunsur ketuhanan dan kerohanian berjaya mencetus fenomena di seluruh dunia. Malah, masyarakat tempatan tidak ketinggalan merasai penangan hebat penyanyi dari Lubnan itu, apabila kedatangannya ke Malaysia sering kali mendapat sambutan luar biasa.
Lupakan seketika pelantun lagu Thank You ALLAH itu, mungkin perhatian peminat dapat dialihkan dengan pembabitan penyanyi baharu, Raef Haggag tetapi masih lagi membawa aliran yang sama seperti Maher.
Berasal dari Washington, Amerika Syarikat (AS) dan dibesarkan di Marryland, penyanyi berusia 32 tahun ini mempertaruhkan album sulungnya, The Path yang kini sudah pun berada di pasaran tempatan.
Bercerita lanjut mengenai albumnya itu, Raef memberitahu, dia tidak pernah terfikir akan menghasilkan album dan menjadikan bidang muzik sebagai kerjayanya.
"Ia berlaku secara tiba-tiba kerana saya memerlukan muzik sebagai salah satu cara mengekspresikan diri. Saya memilih muzik kerana sukakannya. Muzik membantu saya berinteraksi dengan orang dan ia mengajar saya untuk menjadi lebih kreatif. Pendek kata, muzik adalah jiwa saya," katanya kepada Zass ketika ditemui selepas majlis pelancaran albumnya itu, baru-baru ini.
Katanya, minat mendalam pada muzik selama ini hanya diabadikan menerusi koleksi lagu yang diciptanya, sejak lapan tahun lalu.
"Semua lagu dalam album ini menunjukkan pelbagai peristiwa menarik yang berlaku dalam pengembaraan saya. Saya merasakan setiap orang pasti mempunyai perjalanan yang unik dan berbeza. Saya berharap peminat dapat menilai mesej yang dibawa dalam setiap lagu," katanya.
Album terbitan, Awakening Records dan edaran Inteam Records, bersama Sony Music itu memuatkan 12 lagu ciptaannya sendiri. Antaranya, Peace & Blessings, The Bright Moon, Home, Now One Knows But Me, The Path, Mawlaya dan Call In Him.
Lebih istimewa, Raef turut berduet dengan Maher melalui lagu So Real, yang turut didatangkan dalam versi akustik sebagai bonus kepada pendengar. Ketika diasak pertanyaan sama ada dia tidak kisah sekiranya digelar sebagai klon Maher dan cuba menumpang popularitinya, Raef ternyata mempunyai jawapannya sendiri.
"Saya berbangga kerana aliran muzik kami adalah sama iaitu islamik moden. Mungkin muzik kami kedengaran sama kerana Maher sendiri terlibat dalam pembikinan album ini. Namun, masing-masing ada kelainan dan peminat yang mendengar muzik kami berdua pasti akan dapat menilai sendiri perbezaan itu," katanya.
Selain mengetengahkan lagu yang menonjolkan identiti dirinya sebagai seorang Muslim di AS, Raef turut mendedikasikan satu lagu khusus buat isteri tersayang, You Are The One berkisar perasaan cintanya.
"Bagi saya, lagu paling istimewa dan rapat dengan saya ialah Home kerana semua orang perlu mengetahui di mana ‘rumah’ sebenarnya iaitu syurga," katanya.
Jadi penyanyi jalanan Biarpun baru saja menerbitkan album sulungnya itu, jangan tidak tahu, Raef sebenarnya telah mula menyanyi sejak hampir 10 tahun lalu. Malah, dek kecenderungannya terhadap muzik, Raef sanggup melepaskan jawatannya sebagai jurutera perisian di New York Stock Exchange, AS.
"Saya tidak kesal dengan jalan yang dipilih kerana saya tahu, saya perlu fokus pada muzik. Saya juga pernah bergelar penyanyi jalanan demi berkarya kerana untuk menjadi lebih kreatif, saya perlu berhadapan dan berkomunikasi dengan masyarakat. Lagipun saya tidak mahu menjadi seorang artis yang hanya ‘berkampung’ di studio rakaman," katanya.
Kredit
Post a Comment