DO NOT MISS

Thursday, 22 January 2015

Pengorbanan Johnny Depp



DALAM industri perfileman Hollywood, bintang ini merupakan salah seorang selebriti yang berjaya mengekalkan popularitinya sehingga kini.

Memiliki kehebatan lakonan tersendiri, Johnny Depp, 52, sememangnya sering mendapat kepercayaan pengarah dan produser.

Tampil berjaya dengan watak Jack Sparrow, Mad Hatter dan Barnabas Collins sebelum ini, kini Depp diberi peranan sebagai Charles Mortdecai menerusi filem, Mortdecai, yang mula menemui penonton di pawagam, hari ini.

Mendapat sentuhan pengarah filem Premium Rush dan The Secret Window, David Koepp, filem ini mengisahkan mengenai peniaga lukisan yang turut mencari lukisan unik yang dilaporkan hilang.

Lukisan itu adalah karya berharga kerana menyimpan rahsia untuk mendapatkan harta karun peninggalan satu ketika dahulu.

Menggalas watak utama sebagai penggerak, ia bukanlah tugas mudah buat bintang ini.

Menurutnya, walaupun filem ini berunsurkan komedi, namun ia bukanlah bermakna hanya memerlukan ketawa atau melakukan aksi-aksi lucu semata-mata.

“Setiap naskhah yang saya terima bukanlah karya yang sama, malah cabarannya juga berlainan.

“Bukan senang untuk melakonkan sesuatu watak sekiranya kita tidak menghayatinya secara mendalam,” katanya.

Selain Depp, filem ini juga membariskan pelakon terkenal Gwyneth Paltrow dan Ewan McGregor.

Sebelum ini dua rakannya itu pernah mengkritik penampilan Depp sebagai Mortdecai yang dilihat amat tidak bersesuaian dengan imejnya.

Namun bagi Depp, itu semua adalah pengorbanannya yang perlu ditempuhi sebagai seorang pelakon profesional.

“Memang agak melucukan bila melihat penampilan saya dalam filem itu terutamanya di bahagian misai.

“Namun, demi watak dan lakonan, ianya tidak menjadi satu masalah besar bagi saya. Asalkan ianya dilihat bersesuaian dengan watak,” katanya lagi.


Hubungan retak?

Berbalik kepada kisah peribadi pula, Depp sememangnya tidak pernah menyembunyikan hubungan istimewanya bersama bintang cantik, Amber Heard.

Namun, sejak akhir-akhir ini hubungan asmara yang dibina itu dikatakan telah berantakan dan hanya menunggu masa untuk berpisah.

Meskipun begitu, baik Depp mahupun bintang 12 Years A Slave ini, masing-masing mengambil pendekatan untuk mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang penjelasan.

Seolah menepis dakwaan yang bertebaran, Heard turut hadir di majlis tayangan perdana filemnya, Mortdecai, baru-baru ini.

Malah menurut laporan media antarabangsa, melihat kepada aksi mesra pasangan ini gosip mengenai keretakan hubungan itu nyata tidak benar.

Walaupun tidak menafikan melalui kata-kata, namun kemesraan yang ditonjolkan itu sudah cukup untuk menjawab segala spekulasi yang timbul sebelum ini.

Khabar angin itu mungkin bertiup apabila Depp kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filem sekuel Pirates of the Carribean 5 : Dead Man Tell No Tales, yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Dikhabarkan, antara lokasi yang dipilih produksi adalah di Gold Coast, Queensland, Australia.

Selain Depp, bintang kacak, Orlando Bloom juga turut menjayakan filem ini bersama barisan pelakon lain.

PROFIL
Nama Penuh: John Christopher Depp II
Tarikh Lahir: 9 Jun 1963
Tempat Lahir: Owensboro, Kentucky, US
Tahun Aktif: 1994 hingga kini
Filem Lakonan: Platoon, Edward Scissorhand, Sleepy Hollow, Pirates of the Carribean, Charlie and The Chocolate Factory, Alice in Wonderland, Rango.




Kredit

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Mahligai Pelangi. Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia