DO NOT MISS

Saturday, 13 June 2015

Jusrassic World suntik dimensi baharu



TAHUN 2015 menyaksikan pengarah filem terkenal, Steven Spielberg mengambil peranan sebagai Penerbit Eksekutif untuk menghasilkan filem sekuel Jurassic Park yang telah lama dinanti-nantikan oleh peminat setia filem ini.

Selepas mencipta kejayaan besar menerusi filem Jurassic Park pada 1993, The Lost World: Jurassic Park (1997), Jurassic Park III (2001), Jurassic World bakal membawa anda mengembara sekali lagi ke dunia purba ciptaan manusia ini.

Jurassic World berkisar 20 tahun selepas peristiwa yang berlaku dalam filem Jurassic Park. Isla Nublar menjadi latar filem ini selepas dua filem terdahulu menggunakan Isla Sorna sebagai lokasinya.

Selepas dua dekad, Taman Tema Jurassic World yang terletak di pulau itu telah bersedia untuk menerima kunjungan pelawat. Ianya dimiliki oleh Masrani Global Corporation. Owen Grady yang bertugas sebagai salah seorang penyelidik di taman tema berkenaan bertanggungjawab memantau perilaku sekumpulan dinosaur dari spesies Velociraptors yang dikenali sebagai Blue, Charlie, Delta dan Echo.

Atas permintaan pemilik taman tema berkenaan, saintis yang bertugas di pulau ini dipertanggungjawabkan untuk mencipta dinosaur hibrid baru yang dikenali sebagai Indominus Rex sebagai menarik lebih ramai pengunjung.

Pengurus Operasi Jurassic World, Claire Dearing bersama anak buahnya, Zach dan Gray berada di pulau itu ketika Indominus rex terlepas dari kurungan dan mengganas hingga mengorbankan nyawa pengunjung lain.
Kini terpulanglah pada Owen dan sekumpulan petugas untuk menghalang dinosaur tersebut dari terus mengganas.

Mempertaruhkan barisan muka baharu yang terdiri daripada Chris Pratt, Bryce Dallas Howard, Ty Simpkins, Nick Robinson, Irrfan Khan dan Judy Greer, filem ini diarahkan oleh Colin Trevorrow.

Dan sebagai salah seorang penonton Jurassic Park kira-kira 12 tahun yang lalu, apa yang boleh penulis katakan, filem ini akan mengimbau kenangan anda terhadap kehadiran pelbagai jenis dinosaur yang tentu sekali mengerikan.

Perjalanan filem ini boleh penulis sifatkan sebagai mengagumkan, biarpun ada sesekali perjalanan cerita menjadi agak perlahan, namun momentum filem ini agak menarik dari mula hingga akhir.

Malah, ketika filem ini bergerak ke kemuncaknya, ia akan turut menyelitkan debaran kepada penonton, lebih-lebih lagi apabila ada manusia yang diburu oleh dinosaur.

Dan jika dahulu, dinosaur yang dipaparkan terdiri daripada yang diketahui kewujudannya berdasarkan kajian, kali ini, dengan gabungan dan ciptaan dinosaur hibrid, ia sekali gus memberi kelainan.

Paling penting, kemunculan mereka akan membuatkan anda rasa tidak percaya dan mungkin akan membuatkan anda berasa kagum dengan idea pihak produksi mewujudkan kumpulan dinosaur baharu.

Apa yang pasti, kemunculan dinosaur hibrid di dalam filem ini tampak lebih menakutkan berbanding dinosaur yang diwujudkan berdasar kajian.


Sentuhan teknologi

Tambahan pula, dengan sentuhan teknologi dalam filem kali ini memberi dimensi baharu kepada penonton, bagaimana sebuah kisah lama digabungkan bersesuaian dengan perkembangan teknologi pada masa kini.

Apatah lagi, ia secara tidak langsung memberi perbezaan lokasi antara Isla Nublar dan Isla Sorna.

Bukan sahaja teknologinya yang tampak lebih hebat, bahkan garapan dan kecanggihan teknologi di dalam filem ini akan membuatkan anda kagum dengan keseluruhan jalan cerita.

Malah biarpun ada ketikanya Trevorrow mengadunkan dengan suntikan Imej Janaan Komputer (CGI) namun ia tidak kelihatan seperti sebuah filem animasi, sebaliknya ia akan membuatkan anda berasa seolah-olah berada di lokasi, lebih-lebih lagi jika anda menonton dalam bentuk 3-Dimensi (3D).

Bukan itu sahaja, pembinaan set yang juga direka dengan bantuan teknologi, membuatkan anda berasa teringin untuk mengunjungi taman tersebut, biarpun ia dinosaur di sana kelihatan menakutkan.


Chris Pratt menyerlah

Dalam pada itu, penglibatan Christopher Michael Pratt ini atau lebih dikenali dengan nama Chris Pratt sebagai watak utama di dalam francais keempat Jurassic Park ini, penulis lihat sebagai satu pemilihan yang tepat.

Mengakui cukup selesa membintangi filem tersebut, anak kelahiran Virginia, Minnesota ini mengakui francais Jurassic Park sangat dekat dengan masa kecilnya.

“Tahu tak, kerana filem Jurassic Park menyebabkan saya sangat suka akan Velociraptor. Saya suka dengan T-Rex. Tapi saya lebih suka Velociraptor kerana mereka suka berburu secara berkelompok,” katanya.

Dek kerana dia juga meminati filem ini dari awalnya, maka tidak hairanlah Pratt mampu memberikan lakonan yang cukup mantap di dalam filem ini.

Dengan penghayatan watak dan aksi yang bersahaja, tidak mustahil akan membuatkan Pratt menjadi hero baharu untuk tahun 2015/2016.

Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan, Pratt berjaya menonjolkan dirinya di dalam filem ini tanpa menenggelamkan pelakon lain.

Manakala kehadiran pelakon lain di dalam filem ini juga tidak kurang hebatnya dan rata-rata berjaya menghati watak masing-masing dengan baik.


Serap nilai kekeluargaan

Tidak sahaja tampil dengan jalan cerita dan lakonan yang hebat, Trevorrow tidak lupa untuk menerapkan nilai kekeluargaan di dalam filem ini.

Ia memperlihatkan bagaimana adik-beradik yang sama-sama berusaha untuk menyelamatkan diri dan saling melindungi antara satu sama lain.

Ia juga menonjolkan elemen kekeluargaan, tidak hanya di antara ibu bapa dan anak-anak, tetapi di antara ibu dan bapa saudara bersama anak saudara.

Bukan itu sahaja, ada juga beberapa nilai lain lagi yang diterapkan oleh Trevorrow untuk dihayati bersama-sama.

Antaranya adalah sikap bertanggungjawab Owen dalam menyelamatkan seberapa ramai yang boleh, biarpun dia sebenarnya boleh terus lari menyelamatkan diri.

Tidak terhad setakat nilai kekeluargaan, filem ini juga membawa mesej bahawa tidak semua ciptaan yang dibayangkan akan menjadi tarikan tidak mendatangkan bahaya.

Pendek kata, apa sahaja yang kita lakukan, sama ada baik atau buruk, mempunyai risiko pada kemudiaan hari yang perlu ditanggung.

Justeru bagi anda yang ingin mengetahui apakah nasib petugas dan pengunjung Jurassic World? Adakah filem ini sehebat tiga filem terdahulu? Jangan lupa saksikan filem ini di pawagam .


Trivia

* Nama Kristen Stewart dan Keira Knightley antara yang disebut akan membawakan watak sebagai Claire ketika awal proses pembikinan filem ini.

* Pada awalnya, pihak produksi bercadang untuk meletakkan judul Jurassic Park: Extinction, namun akhirnya sepakat untuk meletakkan judul Jurassic World kerana ingin membezakan dengan tiga filem terdahulu.

* Jurassic World merupakan filem keempat dalam francais Jurassic Park.

* Bajet asal filem ini adalah USD180 juta (RM676.8 juta), namun setelah selesai, filem ini hanya menelan belanja USD150 juta (RM    564 juta) sahaja.

* Filem ini sudah dirancang sejak tahun 2004 lagi dan dijadualkan menemui penonton pada musim panas 2005. Namun, ianya tidak menjadi kenyataan apabila berlaku rombakan skrip untuk beberapa kali sehingga berlarutan hampir sedekad.

* Memulakan penggambaran pada April 2014 di beberapa lokasi seperti Hawaii, New Orleans, Louisiana dan berakhir pada Ogos tahun yang sama.

* Watak filem ini diinspirasikan daripada watak dalam novel hasil tulisan novelis terkenal, Michael Crichton.

* Filem kali ini menyaksikan watak Sam Neill, Laura Dern atau Jeff Goldblum tidak lagi dimasukkan ke dalam filem.

* Namun, B. D. Wong yang melakonkan watak Dr. Henry Wu adalah satu-satunya pelakon dari siri filem Jurassic Park yang masih berlakon untuk Jurassic World.

* Tarikh tayangan 11 Jun 2015 dipilih adalah kerana ia bersamaan dengan tarikh filem pertama Jurassic Park yang telah menemui peminat pada 11 Jun 1993.

* LEGO telah menghasilkan set mainan untuk Jurassic World serta permainan video berasaskan filem ini – Lego Jurassic World.

* Menurut Trevorrow, filem ini juga merupakan tribute untuk Richard Attenborough yang meninggal dunia pada Ogos 2014. Attenborough yang berlakon dalam Jurassic Park (1993 ) dan The Lost World: Jurassic Park (1997) pernah menyatakan hasrat untuk turut serta dalam filem ini, namun hasratnya itu tidak kesampaian. Justeru produksi Jurassic World bersetuju untuk meletakkan patung John Hammond, karakter pengasas InGen syarikat genetik dan Jurassic Park dalam filem ini.

* Jurassic Park (1993) adalah salah sebuah filem kegemaran Chris Pratt dan dia sendiri menonton filem berkenaan pada hari pertama tayangannya.

* Konsep jerung yang digunakan sebagai makanan dinosaur merupakan idea Trevorrow dan ia diinspirasikan oleh Steven Spielberg menerusi filem Jaws (1975).

* Trevorrow membayangkan untuk meneruskan francais Jusrassic World. Namun segalanya masih dalam perbincangan.


Jurassic World
PENGARAH : Colin Trevorrow
PELAKON : Chris Pratt, Bryce Dallas Howard, Ty Simpkins, Nick Robinson, Irrfan Khan dan Judy Greer.
GENRE : Aksi/Pengembaraan/Sains Fiksyen
DURASI : 2jam 5minit
KLASIFIKASI : P13
TAYANGAN : 11 Jun 2015
KESELURUHAN : * * * * * GERENTI TONTON LAGI!
 
 
 

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Mahligai Pelangi. Web Designed by Websmalaysia. Theme websmalaysia